SEGAMAT – Imam Masjid Jamek Pasir Pelangi di Johor Bahru meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di Dewan Li Chi Kampung Abdullah di sini, malam semalam.
Difahamkan, Allahyarham Nur Nikman Yusof yang juga merupakan mantan imam Masjid Bandar Labis rebah secara tiba-tiba kira-kira pukul 11.15 malam di dalam tandas dewan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, Allahyarham Nur Nikman Yusof disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan itu terbaring di lantai.Maklumat dari saksi memaklumkan mangsa sempat bermain badminton set pertama bersama rakannya sebelum ditemui terjatuh dalam tandas.
“Rakan mangsa dikatakan mendengar bunyi jatuh yang kuat dari tandas dan arwah ditemui luka di dahi dipercayai rebah serta tidak sedarkan diri. Pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”ujarnya.
Jenazah Allahyarham menjalani proses bedah siasat pada pukul 7.30 pagi tadi dan selesai beberapa jam kemudian, sebelum dimandikan dan disembahyangkan dan dibawa pulang ke kampungnya di Pokok Sena, Kedah dari Masjid Bandar Labis di sini, kira-kira pukul 4 petang.-KOSMO! ONLINE