PARIS, Perancis – Honda melakukan kejutan apabila melancarkan projek pengembalian mereka ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) dengan skala penuh pada 2026 sebagai pembekal unit kuasa kepada pasukan Aston Martin.
Sebelum ini, pengeluar dari Jepun tersebut meninggalkan F1 pada penghujung 2021 selepas tujuh tahun berada dalam sukan itu dengan kemuncaknya pemandu Red Bull, Max Verstappen merangkul gelaran dunia.
Meskipun Honda membuat keputusan meninggalkan F1, mereka tetap membekalkan enjin kepada dua pasukan iaitu Red Bull dan Alpha Tauri sehingga akhir musim 2025.
Pada 2026, F1 melancarkan peraturan enjin baharu terutama penggunaan 100 peraturan bahan api mampan dan tumpuan lebih besar pada kuasa elektrik.
Pemilik Aston Martin, Lawrence Stroll berkata, kerjasama tersebut adalah satu usaha untuk meletakkan Aston Martin pada tahap terbaik dalam perlumbaan F1.
“Kami berkongsi keazaman dan cita-cita tanpa henti untuk berjaya di landasan yang betul. Honda adalah gergasi global dan kejayaannya dalam sukan permotoran sudah lama dan sangat mengagumkan,” kata Stroll.
Kerjasama tersebut menyaksikan Aston Martin akan meninggalkan Mercedes selaku pembekal enjin utama mereka.
Bagaimanapun, Aston Martin akan menggunakan unit kuasa dibekalkan Mercedes sehingga akhir musim 2025 selain mendapat bantuan dari segi unit kuasa, kotak gear dan juga suspensi belakang. – AGENSI