GUA MUSANG – Lebih 40 keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Gawin, Pos Gob, di sini, sedih apabila hasil tanaman yang menjadi sumber makanan mereka setiap tahun ranap dalam sekelip mata akibat diserang gajah liar yang menceroboh kebun penduduk.
Antara tanaman yang dimusnahkan seperti ubi kayu, pisang, ubi keledek dan pokok serai sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Penghulu Kampung Gawin, Akek Bahil, 52, berkata, gajah berkenaan kembali menceroboh kampung itu sejak minggu lalu dengan kejadian pertama berlaku pada Isnin minggu lalu.
“Kejadian kedua berlaku pada Khamis lalu yang memusnahkan ladang ubi kayu. Kejadian itu menyebabkan kami mengalami kerugian kira-kira RM2,000.
“Jumlah ini adalah sangat besar bagi kami penduduk Orang Asli di kawasan ini,” katanya kepada pemberita semalam.
Tambahnya, laporan berhubung serangan gajah itu telah dibuat kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk tindakan segera.
Seorang penduduk, Anita Alik, 49, berkata, kehadiran gajah liar yang berkeliaran di kawasan kampung pada waktu malam itu juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk.
“Kami dapat mendengar dengan jelas bunyi gajah terbabit menceroboh kampung ini dan sangat takut sekiranya haiwan itu naik minyak dan menyerang penduduk kampung.
“Saya harap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib untuk keselamatan penduduk selain menyelamatkan tanaman agar kami tidak lagi menanggung kerugian,” ujarnya.