IPOH – Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa parti pembangkang, Perikatan Nasional (PN) di negeri ini sedang bergolak berikutan pembangkang gagal mengemukakan nama calon bagi pemilihan Senator pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Muhamad Arafat yang juga ADUN Hulu Kinta berkata, beliau difahamkan bahawa berlakunya pergolakan dalam PN sehingga mereka tidak boleh mengemukakan nama calon senator bagi pihak pembangkang di Perak.
“Sebelum ini seperti yang sedia maklum saya telah mencabar untuk mendedahkan dakwaan bukti dakwaan ketua pembangkang.
“Maka seperti yang sedia maklum, setelah selesai insiden ini, terbukti bahawa apa yang didakwa oleh ketua pembangkang adalah satu pembohongan,” katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurutnya, dakwaannya berhubung Perikatan Nasional di negeri ini tidak stabil berdasarkan tiga perkara sepanjang Sidang DUN iaitu usul Rang Undang-Undang (RUU), RUU Unggas dan pemilihan senator negeri.
“Saya telah mencabar beliau. Gunakanlah platform pemilihan senator ini sekurang-kurangnya untuk buktikan angka. Kononnya kerajaan Perak ini tidak stabil tetapi apa yang kita dapat lihat Kerajaan Perpaduan di negeri ini sangat stabil dan apa yang didakwa oleh ketua pembangkang tidak benar,” katanya.
Menurut Muhamad Arafat, ketua pembangkang tersebut tidak berani menyahut cabaran selain tidak mampu mengemukakan calon senator.
“Pertama, dia tak berani menyahut cabaran. Kedua, calon pun mereka tidak dapat kemukakan. Mungkin selepas ini pembangkang boleh kata mereka ada menghantar borang tapi ditolak oleh pejabat Speaker,” katanya.
“Saya sendiri dapatkan maklumat daripada pejabat Speaker. Kita tanya bagaimana boleh tak ada calon daripada pembangkang? Saya difahamkan oleh pejabat Speaker, nama calon tidak dikemukakan cuma borang kosong saja,” katanya. – KOSMO! ONLINE