PASIR PUTEH – Deretan tiga buah kedai makan yang terletak berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.59 petang itu, pemilik dan pekerja gerai yang menjual nasi berlauk selain gulai kawah bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas melihat kawasan premis tersebut terbakar.
Ketua BBP Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum 15 anggota, pegawai dan anggota sukarelawan BBP Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran balai bomba.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, tiga buah kedai makan separuh kekal sudah terbakar 90 peratus sebelum anggota bertindak memadam kebakaran bagi menghalang api merebak ke bangunan berdekatan.
“Anggota dan kelengkapan pemadaman turut dibantu BBP Tok Bali dan Machang. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 4 petang dan ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut. – KOSMO! ONLINE