KOTA BHARU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak sepupunya dan memiliki senapang patah bersama empat butir peluru hidup tanpa lesen kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Nik Nazli Nik Mohd. Mustapha, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada bunuh.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur dekat Machang di sini kira-kira pukul 2 pagi hingga 3 pagi pada 12 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Nik Nazli didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang semasa berada di kaki bukit belakang pejabat tapak semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong dekat Machang di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan yang berat.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tidak sengaja menembak mati anak sepupunya dengan senapang patah buatan sendiri selepas menyangka mangsa haiwan buruan semasa berada kawasan hutan simpan dekat Machang baru-baru ini.
Kejadian berlaku ketika suspek bersama mangsa memburu haiwan di kawasan hutan simpan Ulu Sat, Machang di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 12 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE