GEORGE TOWN – Seorang bekas kerani akaun sebuah gedung pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah wang milik premis berkenaan berjumlah lebih RM70,000 antara tahun 2015 hingga 2019.
Tertuduh, Janet PC Gomes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab.Karim
Mengikut lapan pertuduhan yang dibaca berasingan di hadapan hakim, tertuduh sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian di Lebuh Pasar didakwa telah melakukan pecah amanah antara tahun 2015 hingga 2019.
Tertuduh yang kini bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di pusat bandar didakwa telah menunaikan cek berjumlah lebih RM70,000 untuk kegunaan sendiri.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda mengikut seksyen berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang diwakili V.Parthipan, T.Tamil Salvan dan Shamsher Singh Thind pula memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum atas alasan tertuduh bekerja seorang diri menyara keluarga memandangkan suami tertuduh menghidap penyakit kronik.
Malah peguam tertuduh, Tamil Salvan berkata, tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang ditahan bagi siasatan kes berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 4 Julai depan.
Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE