PETALING JAYA – Pelakon, Amar Baharin kehilangan bapanya, Mohd. Baharin Amir yang menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi.
Berita sedih itu dikongsikan bintang drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu tanpa menyatakan punca pemergian insan dikasihinya itu.
Amar yang juga suami kepada aktres, Amyra Rosli turut berharap urusan pengebumian jenazah dipermudahkan.
“Mohon doakan semoga Allah ampunkan segala dosa arwah dan andai kata ada dosa arwah sesama kalian, mohon diampunkan sepanjang arwah hidup di dunia ini.
“Andai kata ada pahala dari bacaan ayat-ayat suci al-Quran anda semua, mohon disedekahkan pada arwah,” tulisnya menerusi Instagram.
Pelakon berusia 37 tahun itu juga memaklumkan jenazah bapanya akan dibawa dan diuruskan di Masjid Sungai Sekamat, Kajang, pagi ini.
Dalam ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengikut laman sosial Amar menitipkan doa dan berharap segala urusan dipermudahkan.
“Takziah buat Amar sekeluarga. Semoga roh ayahanda ditempatkan dikalangan orang yang beriman,” kata pelakon Ummi Nazeera.
“Salam takziah, semoga arwah dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” kata hos dan pelakon, Alif Satar. – KOSMO! ONLINE