PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada enam negeri sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook berkata ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan enam negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.
“Antara kawasan terlibat adalah di Kelantan adalah Kota Bharu, Jeli, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang. Di Terengganu pula Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Kuala Terengganu.
“Untuk Pahang, kawasan Bentong, Temerloh dan Bera. Selangor di Gombak, Petaling dan Hulu Langat. Sarawak di Kuching, Samarahan, serta Bintulu,” katanya.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE