KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menyelamatkan maruah negara apabila menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang mencatat kemenangan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pemain No.10 dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 21-19 ke atas pemain China, Lu Guang Zu tatkala empat beregu campuran selain masing-masing satu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki terkandas awal.
Meskipun hampir tewas di set kedua ketika ketinggalan 18-11, namun Zii Jia menunjukkan semangat juang tinggi apabila kembali mengejar sebelum menamatkan perlawanan sebagai pemenang.
“Permulaan yang mudah untuk saya di set pertama tetapi dia mula dapat rentak di set kedua sehingga meletakkan saya dalam keadaan sukar. Keyakinan masih ada selepas bermain baik di Piala Sudirman minggu lalu.
“Ketika ketinggalan 11-18 di set kedua, sebenarnya saya sudah bersedia untuk bermain di rubber set, namun saya tetap sabar dan gunakan setiap peluang yang ada,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Justeru, bekas juara Asia dan Seluruh England (All England) itu akan membuat perhitungan dengan wakil Taiwan, Lin Chun-yi yang menewaskan juara bertahan, Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia.
Mengiringi Zii Jia di pusingan kedua esok adalah tiga beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.
Sementara itu, cerita berbeza dialami barisan beregu campuran negara apabila keempat-empat wakil yang beraksi pada pusingan pertama hari ini ditunjukkan jalan keluar daripada Jelajah Dunia Super 500 itu.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal melepasi halangan apabila akur kepada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia menerusi aksi tiga set 20-22, 21-11, 15-21 dalam tempoh 56 minit.
Beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas 19-21, 21-18, 12-21 kepada satu lagi wakil Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akur dengan kekalahan 20-22, 20-22 kepada Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand.
Satu lagi beregu profesinal, Chan Peng Soon-Cheah Yee See gagal mengenepikan cabaran beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun apabila tewas dalam aksi straight set 8-21, 15-21.
Turut tersingkir hari ini adalah seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tewas 21-17, 16-21, 13-21 dan perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei selepas kalah 17-21, 21-17, 15-21. – KOSMO! ONLINE