fbpx

PSAS, UPSI jalin kerjasama perkukuh pelbagai bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Delegasi PSAS dan UPSI bergambar kenangan selepas mengadakan kunjung hormat dan membincangkan kerjasama di UPSI, Tanjung Malim, Perak kelmarin.

TANJUNG MALIM – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menjadi rakan strategik baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila kedua-duanya menjalin kerjasama melibatkan pelbagai bidang terutamanya pengkomersialan.

PSAS dalam kunjungan hormat secara rasmi buat julung kalinya ke UPSI kelmarin diketuai Pengarahnya, Mohd. Zulkefli Ibrahim bersama-sama 23 orang kakitangan, sekali gus memperlihatkan komitmen yang tinggi untuk berkolaborasi bersama UPSI .

Mohd. Zulkefli yang dilantik ke jawatan Pengarah PSAS pada 2 Mei lalu menyatakan hasratnya serta beriltizam untuk memacu kecemerlangan PSAS bersama UPSI.

“Kunjungan hormat delegasi PSAS ini bertujuan melonjakkan pencapaian PSAS bersama UPSI sebagai universiti pendidikan ulung negara.

“PSAS dan UPSI turut bersetuju untuk bersama-sama menjayakan program tanggungjawab sosial berimpak tinggi di daerah Muallim sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya di sini kelmarin.

Pada masa sama, katanya, usaha sama yang bakal dilaksanakan boleh berkonsepkan pertukaran barter bagi menjayakan sebarang program seperti penggunaan kemudahan yang dimiliki UPSI dan PSAS.

“PSAS bersedia bekerjasama dengan UPSI dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menganggap pertemuan hasil kunjungan hormat PSAS ke universiti itu akan membuka lembaran baharu kepada aspirasi melonjakkan pencapaian universiti apatah lagi kedua-dua institusi berada di Muallim.

“Justeru, usaha sama perlu dilakukan antara PSAS dan UPSI memandangkan keduanya mempunyai kelebihan yang boleh disatukan untuk merangka kerjasama yang lebih besar dalam melonjakkan daerah Muallim,” katanya.

Beliau berkata antara fokus kerjasama adalah dari aspek inovasi, robotik serta pengkomersialan yang perlu digemblengkan untuk mengukuhkan kedua-dua institusi selain menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan penginapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI