fbpx

Mahkamah: Kerani mengaku tidak bersalah terima rasuah, buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORASHIKIN (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini bagi dituduh atas kesalahan membuat tuntutan palsu dan menerima rasuah lima tahun lalu. Foto oleh NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN – Seorang pembantu tadbir Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas satu pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,900 dan 24 pertuduhan menerima rasuah, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Norashikin Mohamed Hussin, 36, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdayakan majikannya dengan mengesahkan tuntutan kerja pembaikkan kenderaan Nissan Frontier berjumlah RM2,900 yang mengandungi butiran palsu antara 31 Januari 2020 hingga 3 Februari 2020 di Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap 24 pertuduhan menerima rasuah bagi tujuan menawarkan kerja pembaikkan kenderaan pejabat berkenaan melibatkan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM18,663 daripada pemilik sebuah bengkel membaiki kenderaan beralamat di Melaka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabatnya di Port Dickson mulai 4 Disember 2018 hingga 10 September 2020 dengan nilai suapan antara RM100 hingga RM3,057 sepanjang tempoh tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Port Dickson sebagai syarat tambahan sehingga kes itu selesai dibicarakan.

Tarikh 28 Julai ini telah ditetapkan oleh mahkamah untuk proses serahan dokumen oleh pihak pendakwa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI