fbpx

Mahkamah: Bekas jurujual, juruteknik terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pei Lee (tengah) dan Tan Weng (dua kanan) bersama peguam mereka selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Seorang bekas jurujual wanita dan juruteknik terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi, hari ini melepas dan membebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah syabu seberat 386.54 gram, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Chu Pei Lee,43, dan Har Tan Weng, 46.

Norsharidah dalam penghakimannya menjelaskan, mahkamah mendapati elemen pemilikan dan pengedaran dadah-dadah berbahaya seperti dalam pertuduhan gagal dibuktikan pihak pendakwaan.

Katanya, mahkamah juga mendapati elemen niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan juga tidak dapat dibuktikan di dalam kes ini.

“Dalam menilai rakaman percakapan saksi (seorang lagi tertuduh yang telah meninggal dunia) yang dikemukakan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 32 (1) (i) Akta Keterangan, mahkamah juga berpendapat bahawa keterangan itu tidak boleh diterima pakai.

“Ini kerana memprejudiskan kedua-dua tertuduh. Rakaman percakapan tersebut adalah milik rakan sejenayah tertuduh. Oleh itu, keterangan sokongan adalah diperlukan,” tegasnya.

Pei Lee dan Tan Weng sebagai bekas juruteknik bersama seorang lagi tertuduh iaitu mendiang Seet Man Zung yang meninggal dunia semasa kes masih lagi dibicarakan, didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 386.54 gram di sebuah rumah di Damansara Damai kira-kira pukul 11.30 malam, 10 November 2017.

Justeru, mereka boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan.

Pada prosiding perbicaraan bermula 28 Jun tahun lalu sebanyak 10 orang saksi telah dikemukakan dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim sementara kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili Chris Kooi dan Ivy Chin serta Khairul Naim Rafidi.

Dalam kamar mahkamah sama, Pei Lee dan Tan Weng turut menerima nasib sama bagi pertuduhan memiliki dadah masing-masing jenis nimetazepam seberat tiga gram, ketamin (13.95 gram) dan methamphetamine (4.14 gram) yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 12 (2) dan (3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI