fbpx

Liga Super: Kuching City bangkit ikat KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KL City, Sean Giannelli berjaya mendapatkan sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Kuching City pada aksi Liga Super di Cheras sebentar tadi. - KL CITY FC

KUALA LUMPUR – Kelalaian barisan pertahanan Kuala Lumpur City (KL City) FC mengundang padah apabila membenarkan Kuching City FC meledak gol penyamaan 1-1 pada lewat permainan dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

KL City dilihat hampir berjaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menerusi jaringan sepakan penalti daripada penyerang gantian, Tchetche Kipre pada minit ke-85.

Ia berpunca daripada tindakan bek tengah Kuching City, Celio Ferreira Dos Santos mengasari pemain The City Boys, Sean Gan Giannelli sebelum Kipre mudah meledak gol keempat peribadinya musim ini.

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain Kuching City yang tetap tidak berputus ada dan terus bersemangat mencari sesuatu sehinggalah terhasil gol penyamaan pada minit ke-93.

Jaringan tersebut diperoleh menerusi Abu Kamara yang mudah menolak bola masuk menewaskan penjaga gol KL City, Muhammad Azri Ab. Ghani hasil sepakan percuma daripada rakan sepasukannya.

Penolong jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin memuji semangat juang yang ditunjukkan anak-anak buahnya untuk membawa pulang satu mata berharga dari Cheras.

“Tahniah kepada para pemain kerana tak berputus asa dan terus berjuang. Walaupun seri tetapi ini adalah keputusan yang manis.

“Ia memberikan kami semangat untuk meneruskan aksi selepas ini. Semestinya keputusan di Cheras ini adalah tonik terbaik sebelum kami bertemu Negeri Sembilan (6 Jun),” katanya selepas tamat perlawanan.

Kuching City pastinya menarik nafas lega kerana keputusan seri itu telah menamatkan rekod buruk mereka yang tewas lima perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak tentunya kecewa melihat aksi daripada para pemainnya terutama penyerang import, Herlison Caion yang seakan-akan ‘hilang’ sepanjang 90 minit perlawanan itu.

Bagi KL City yang kekal di tangga keenam Liga Super, mereka perlu bangkit melupakan kekalahan itu dengan memberikan tumpuan kepada aksi suku akhir Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI