BANGKOK – Seorang lelaki Thailand mengaku mendera teman wanitanya dengan memaksa mangsa makan najis anjing dan membunuh haiwan itu, lapor laman berita Thaiger semalam.
Peguam, Kanthas ‘Gun Jompalang’ Phongphaibookvej menemani wanita berketurunan Thai-Britain tersebut yang berusia 25 tahun ke Balai Polis Bang Bo untuk memfailkan tiga pertuduhan terhadap teman lelakinya. Suspek yang berusia 24 tahun didakwa melakukan serangan, penahanan secara tidak sah dan penderaan haiwan.
Kanthas mendakwa bahawa suspek menumbuk dan menendang anak guamnya dan memukulnya menggunakan kerusi, mop dan kipas. Ia menyebabkan mangsa mengalami luka-luka di mata, muka, lengan serta kakinya.
“Setiap kali teman lelakinya bersikap agresif, anjing peliharaan mangsa menjadi takut dan haiwan itu akan membuang air besar di dalam rumah,” kata peguam berkenaan.
Suspek kemudian dikatakan memaksa mangsa makan najis anjing tersebut sebelum mencekik haiwan itu sehingga mati, lapor laman berita KhaoSod.
Selepas rasa bersalah, suspek membelikan kekasihnya anjing peliharaan baharu. Namun, perkara sama berulang kembali sehingga suspek membeli dan membunuh enam ekor anjing secara kejam.
Mangsa yang pada awalnya dikatakan cuba bersabar akhirnya melarikan diri dan mendapatkan bantuan untuk memfailkan laporan polis terhadap teman lelakinya itu. – Agensi