KEMAMAN – Penguatkuasaan larangan penjualan telur penyu di Terengganu sejak hampir setahun lalu sudah mula menunjukkan kesan positif meningkatkan populasi penyu di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak berkata, sebanyak 810,962 biji telur penyu telah berjaya dieramkan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Kita juga telah melepaskan sebahagian besar anak penyu terbabit iaitu 590,249 ekor ke laut yang merupakan habitat asalnya.
“Ia peningkatan memberangsangkan berbanding 603,827 biji telur penyu berjaya dieram dan pelepasan 432,321 ekor anak penyu pada tahun 2021,” katanya ketika merasmikan program Cakna Penyu di Pantai Teluk Mak Nik di sini awal pagi tadi.
Tun Ahmad Faisal berkata, pendaratan penyu untuk bertelur di pesisir pantai Terengganu juga meningkat kepada 10,019 sarang pada tahun lalu.
Jelas beliau, sebagai perbandingan, cuma 7,614 sarang penyu bertelur direkodkan di negeri ini pada tahun 2021. – KOSMO! ONLINE