PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dan Iraq meliputi pelbagai program dengan penglibatan universiti di dua negara itu.
Perkara berkenaan antara intipati disentuh menerusi pertemuan Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan delegasi dari dua negara tersebut semalam.
Melalui hantaran laman sosial rasmi kementerian itu, sesi perjumpaan dengan Indonesia dihadiri Duta Besar, Hermono dan Gabenor Nusa Tenggara Barat, Dr. Zulkieflimansyah.
“KPT bincang hala tuju program promosi pertukaran dan mobiliti pelajar, memorandum persefahaman, pengurusan visa pelajar serta kolaborasi kepakaran universiti.
“Kami menyedari kehendak pemain industri global memerlukan siswazah berkemahiran TVET dengan peluang itu ditawarkan banyak universiti teknikal di Malaysia,”’katanya.
Sementara itu, pertemuan dengan Iraq pula dihadiri Utusan Khas Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik, Prof. Dr. Alaa Abdulhasan Attyah serta pegawai kedutaannya.
Semasa perjumpaan itu, Mohamed Khaled menyatakan komitmen Malaysia meningkatkan lagi hubungan dua hala menerusi pelbagai program kerjasama sedia ada dan baharu. – KOSMO! ONLINE