fbpx

Amerika Syarikat makin hampir gagal bayar hutang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MCCARTHY mengadakan pertemuan dengan Biden di White House kelmarin. – AFP

WASHINGTON  –  Amerika Syarikat (AS) di ambang bencana ekonomi kelmarin berikutan keengganan Dewan Perwakilan yang diketuai Parti Republikan membayar hutang negara melainkan Presiden Joe Biden akur memotong perbelanjaan semasa dan masa hadapan.

Saluran berita CNN melaporkan, sekiranya persetujuan untuk meningkatkan siling hutang negara gagal dicapai dalam masa beberapa hari lagi, AS akan hilang maruah sebagai tonggak kestabilan ekonomi global. 

Kegagalan AS membayar hutangnya mengikut jadual akan memberikan kesan negatif kepada pasaran kewangan dan berpotensi mencetuskan kegawatan ekonomi. Pengangguran dijangka meningkat, manakala jaminan ekonomi kepada banyak isi rumah tergugat.

Berjuta-juta orang tidak akan menerima wang pencen dan elaun veteran mereka, manakala gaji kakitangan awam persekutuan juga tertangguh sehinggalah krisis tersebut selesai. 

Lebih buruk, kegagalan Washington membayar hutangnya mengundang kesangsian serius tentang kredibiliti negara dan reputasi dolar sebagai mata wang rizab serta melenyapkan keyakinan pemiutang. 

“Malah, kemungkinan bahawa perkara itu boleh berlaku sudah cukup untuk menghuru-harakan pasaran dan menjejaskan ekonomi global,” kata seorang penganalisis dasar dan ekonomi tempatan, Paul Van de Water.

Dalam perkembangan berkaitan, Biden mengadakan perbincangan bersama Speaker Dewan Perwakilan, Kevin McCarthy kelmarin bagi mengelak bencana ekonomi daripada berlaku.

Pertemuan empat mata di White House itu berlangsung selepas Biden kembali dari rangka lawatan ke Asia supaya beliau dapat menyelesaikan krisis tersebut menjelang tarikh akhir 1 Jun yang ditetapkan oleh Kongres untuk menaikkan siling pinjaman negara. 

“Perbincangan kami produktif. Kami belum lagi mencapai persetujuan tetapi saya merasakan perbincangan kami  produktif termasuk perkara yang mana kami bercanggah pendirian,” kata McCarthy selepas pertemuan mereka.

Dalam pada itu, sebilangan pemimpin kerajaan daripada Parti Demokrat menggesa Biden supaya menggunakan kuasa Presiden di bawah perlembagaan untuk membuat keputusan menaikkan siling hutang negara secara unilateral (bersendirian).

Di bawah undang-undang semasa, tanggungjawab tersebut diberikan kepada Kongres.

Mengulas cadangan itu, Biden ketika di Jepun baru-baru ini berkata, beliau percaya memiliki kuasa untuk berbuat demikian tetapi sangsi langkah itu boleh dilakukan berikutan masa sudah  terlalu suntuk.

Tambahan pula, dekri tersebut sudah tentu akan dicabar dengan perkara tersebut boleh berlanjutan hingga ke Mahkamah Agung. 

Krisis itu berlaku selepas Dewan Perwakilan yang dikuasai McCarthy enggan meningkatkan siling hutang negara di sebalik gesaan oleh pemimpin-pemimpin Demokrat  untuk berbuat demikian sejak beberapa bulan lalu.

Barisan wakil rakyat Parti Republikan sebaliknya menegaskan bahawa perbelanjaan kerajaan perlu dipotong terlebih dahulu bagi mengurangkan hutang negara yang kini mencecah AS$31.8 trilion (RM145 trilion). – AFP/AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI