KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu memohon maaf berikutan kelewatan pengagihan bantuan i-Perantau kepada anak jati berkelayakan yang menetap di luar negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bantuan wang tunai sebanyak RM300 kepada setiap penerima yang layak tersebut sepatutnya diagihkan pada bulan Syawal lalu.
“Bantuan i-Perantau yang bertujuan meringankan persiapan menyambut Aidilfitri buat anak perantau tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.9 juta.
“Saya mohon maaf bantuan tersebut masih belum dapat diagihkan lagi ekoran kelewatan penerimaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) daripada kerajaan Pusat,” katanya di sini hari ini.
Hanafiah memberi jaminan agihan bantuan i-Perantau tersebut akan dilakukan segera sebaik kerajaan negeri menerima DKKP atau royalti minyak terbabit.
Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu turut lewat melunaskan janji bantuan RM1,000 kepada sebahagian mangsa banjir musim tengkujuh lalu ekoran kekurangan dana. – KOSMO! ONLINE