KUALA LUMPUR – Selepas berkali-kali menunaikan umrah, rezeki berganda menyebelahi pelakon popular Zul Ariffin apabila bakal menunaikan ibadah haji bulan hadapan.
Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin itu sebenarnya tidak menyangka, rezeki menunaikan rukun Islam kelima itu datang awal dalam hidupnya.
“Memang sudah rezeki dijemput ke sana. Saya rasa teruja. Sebelum ini pergi umrah pun teruja juga cuma haji lautan manusianya kita tak tengok lagi macam mana.
“Kalau dulu tengok dalam televisyen, sekarang kita rasai pengalaman menunaikan haji itu sendiri.
“Dekat sana nanti musim panas. Sangat panas 45 darjah selsius sekarang,” kongsi pelakon berusia 37 itu semasa lawatan media filem Syerif di Lapangan Terbang Lama Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Kongsi Zul yang memainkan peranan sebagai Syerif dalam filem arahan Syarif Yusof, dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 10 Jun depan.
“Saya akan pergi tunaikan ibadah haji pada minggu kedua bulan Jun depan. Dalam 10 Jun macam itu saya berangkat ke sana.
“Rombongan jemaah hari pertama dah mula berlepas sekitar 20 hari bulan tempoh hari. Saya menerima jemputan tapi bukan melalui Tabung Haji,” katanya.
Sejak Ogos tahun lalu, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) itu sudah tiga kali menunaikan umrah. – KOSMO! ONLINE