fbpx

Tiga lelaki ditahan terbabit sembilan kes ragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno menunjukkan barang rampasan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan ragut dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR -Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju ditahan dalam serbuan Op Rentap di sekitar ibu negara pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di sini, pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

Menurut beliau, susulan kegiatan ragut yang semakin berleluasa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan Op Rentap untuk membanteras aktiviti itu.

“Berdasarkan risikan dilakukan, beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara telah membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 29 tahun.

“Turut dirampas lapan telefon bimbit pelbagal jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, hasil siasatan dilakukan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun.

Jelas beliau, sindiket itu dikenal pasti melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

“Kegiatan ini juga dijalankan secara berkumpulan dengan hasil jenayah ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

“Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

Justeru itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju hasil tangkapan kesemua suspek.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI