fbpx

Pilih P. Pinang lokasi tilawah al-Quran tiada kaitan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (tengah) ketika hadir merasmikan pra pelancaran Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan di Bukit Jambul hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H langsung tidak mempunyai kaitan dengan sebarang elemen politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keputusan untuk memilih negeri ini bagi menjayakan majlis tersebut telah dilaksanakan tahun lalu iaitu sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan (Pulau Pinang sebagai tuan rumah) dibuat tahun lalu dan ia tidak ada kena mengena dengan elemen politik.

“Dalam konteks ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memilih Pulau Pinang dan kerajaan negeri bersetuju menerima jemputan Kerajaan Pusat dan pihak kami berharap majlis ini akan berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pra pelancaran majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2023 di Bukit Jambul, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyatakan pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H adalah berkaitan dengan soal politik.

Untuk rekod, kali terakhir Pulau Pinang menjadi tuan rumah majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan adalah pada 2002.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun.

“Acara berprestij tahun ini dijangka akan melibatkan penyertaan seramai 108 peserta daripada seluruh negeri yang berusia antara 10 hingga 25 tahun.

“Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam pertandingan tilawah al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan hafazan al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI