PUTRAJAYA – Proses membawa turun jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, disambung semula pagi ini selepas tertangguh semalam.
Difahamkan, operasi membawa turun jenazah tidak dapat dilakukan semalam akibat cuaca buruk, kesesakan di trek pendakian dan salji tebal di permukaan gunung.
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, sepatutnya proses membawa turun dilakukan semalam, namun ia ditangguhkan dan pasukannya masih berada di kem empat (8,000 meter dari aras laut).
Beliau berkata, keadaan salji tebal 0.30 meter di atas permukaan pergunungan menyukarkan urusan mengusung jenazah memandangkan ia dilakukan secara manual menggunakan pengusung.
“Alhamdullilah, cuaca hari ini baik dan proses membawa turun dapat dimulakan dengan dibantu oleh enam malim gunung sehingga ke kem dua.
“Jika tiada masalah, proses menurunkan jenazah akan selesai selewat-lewatnya esok termasuk menerbangkan sekali jenazah menggunakan helikopter ke hospital di Kathmandu bagi proses seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Azim berkata, misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki ME2023, Muhammad Hawari Hashim akan diteruskan hari ini sehingga 28 Mei ini.
“SAR memasuki hari kelima ini membabitkan enam malim gunung yang dipecahkan kepada dua kumpulan melibatkan pencarian di kem dua dan tiga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE