fbpx

Masa berlalu, kos kompetitif tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Uzir dan isterinya, Suhana bersyukur menjadi duyufurrahman tahun ini ketika ditemui di Masjid Nabawi di Madinah semalam.

Melaporkan dari Madinah

MADINAH – Sekumpulan media yang sedang menunggu pergerakan jemaah haji Malaysia menziarahi Masjid Nabawi semalam terkejut apabila disapa oleh Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Mohd. Uzir dan isterinya, Datin Seri Suhana Tahir merupakan sebahagian daripada kumpulan jemaah tersebut yang tiba di Madinah melalui penerbangan pertama pada pukul 7 pagi Ahad lalu.

Pasangan itu merupakan orang kenamaan pertama yang diketahui dapat mengerjakan haji dan menjadi duyufurrahman bagi musim 1444H.

“Alhamdulillah, bersyukur kita apabila dipilih sebagai tetamu Allah pada tahun ini dan ia merupakan usaha kita yang diperkuatkan dengan kehendak Yang Maha Esa untuk membuatkan semuanya ini menjadi nyata,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mohd. Uzir, Tabung Haji (TH) merupakan satu organisasi yang terbukti telah menjalankan tugasnya dengan baik untuk mengendalikan jemaah haji sejak berpuluh tahun lalu.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan bantuan yang diberikan TH seperti yang diumumkan baru-baru ini kepada jemaah haji menjadi buah mulut orang, tetapi masa telah berlalu dan kos yang kompetitif membuatkan segalanya berubah berbanding sebelum ini.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab mereka yang mampu untuk membantu bakal jemaah haji yang kurang mampu supaya sama-sama dapat menunaikan haji,” katanya.

Ujar Mohd. Uzir, persiapan yang dilakukan amat teratur dan tersusun sesuai dengan pengalaman TH sebagai agensi terbesar mengendali 31,600 jemaah pada tahun ini.

Tambahnya, walaupun ada agensi swasta yang membawa jemaah haji tetapi ia tidak mempunyai kekuatan dan pengurusan seperti yang ada pada TH.

“Mereka menyiapkan pasukan perubatan dan kebajikan yang menjaga semua jemaah terutama warga emas. Ditambah dengan suhu panas ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Menurut Mohd. Uzir, beliau telah didatangi wakil Jabatan Buruh Arab Saudi baru-baru ini dan difahamkan terdapat lebih tiga juta jemaah haji akan membanjiri Mekah dan Madinah pada tahun ini.

Baru-baru ini TH memaklumkan bantuan haji untuk golongan B40 dan M40 diteruskan seperti biasa mengikut peratusan yang ditetapkan manakala tiada lagi kemudahan yang akan diterima oleh T20. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI