MANCHESTER – Pengurus sementara Chelsea, Frank Lampard menggesa barisan pemainnya supaya bekerja lebih keras selepas tewas 0-1 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam kelmarin.
Ketika memasuki padang, pemain-pemain Chelsea melakukan ‘baris hormat’ kepada pasukan tuan rumah selepas skuad kendalian Pep Guardiola itu mengesahkan kejuaraan liga menjadi milik mereka.
Lampard berharap, dengan melakukan ‘baris hormat’ kepada City, pemain-pemainnya akan menjadikan kejayaan pasukan lawan itu sebagai inspirasi bagi memastikan The Blues kembali ke prestasi terbaik musim depan.
“Satu-satunya perkara yang boleh dijadikan inspirasi adalah kami perlu tengok kedudukan City sekarang. Mereka memiliki kemahuan cukup tinggi, sebab itu mereka dapat menang satu lagi kejuaraan.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir pemain-pemain Chelsea perlu lakukan ‘baris hormat’ untuk buat mereka faham. City menang tiga gelaran liga berturut-turut kerana mereka sentiasa bekerja keras,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pemain-pemain faham tanggungjawab besar yang mereka galas selepas jaringan tunggal Julian Alvarez dalam perlawanan tersebut menyaksikan Chelsea kempunan mengutip sebarang mata.
“Sekarang semuanya terpulang kepada semua pemain untuk membawa pasukan kembali ke landasan sebenar. Liga Perdana semakin sukar, jadi kelab dan pemain perlu cari jalan untuk mengembalikan reputasi pasukan,” ujar Lampard. – AGENSI