SETELAH mendaftarkan diri dalam perkhidmatan ketenteraan wajib pada April lalu, penyanyi J-hope dengan bangganya berjaya menamatkan latihan kawad sejauh 20 kilometer (km).
Bukan sahaja perlu melakukan kawad, penyanyi kumpulan BTS itu juga harus menggalas 20 kilogram (kg) pek pemberat bersama senjata api tersandang di belakangnya.
Bagaimanapun penyanyi berusia 29 tahun itu kelihatan berada dalam keadaan baik-baik sahaja selepas menghabiskan rutin latihan berat setiap hari.
Selepas latihan asas selama lima minggu berakhir, tidak lama lagi J-hope akan ditempatkan dalam unit yang akan ditentukan kelak.
Peminat pula tidak putus-putus memberikan sokongan moral, selain yakin J-hope mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.