KOTA TINGGI – Seorang wanita mengambil alih tugas menyara keluarga selepas suami yang menjadi tempat bergantung harap terlibat dalam kemalangan empat tahun lalu.
Nora Abdul Ghani, 39, berkata, suaminya, Norazam Badri, 47, sebelum ini adalah pekerja kontrak memakai alat besi di kaki bagi membantu pertumbuhan tulang selepas betisnya patah setelah terbabit nahas melibatkan lori di Pengerang.
Selain kaki, tulang pinggul Norazam juga hancur selain gegaran di kepala sehingga menyebabkan lelaki itu mudah lupa.
“Akibat kemalangan itu, suami dimasukkan ke hospital selama empat bulan dan menjalani tujuh kali pembedahan.
“Kaki kiri suami sepatutnya dipotong, namun dia minta agar anggota itu diselamatkan. Dia sanggup guna tongkat seumur hidup,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Felda Air Tawar 2 di sini baru-baru ini.
Keluarga itu bernasib baik kerana menerima wang Perkeso sebanyak RM1,020 sebulan, namun masih tidak mencukupi untuk menampung belanja menyebabkan Nora terpaksa membuat kerja sampingan seperti menjaga kanak-kanak dan warga emas, mengurut dan membersihkan rumah penduduk.
Nora memberitahu, selain menyara tiga anak, dia turut menjaga abang iparnya yang berstatus orang kurang upaya.
“Kos pengangkutan ke hospital RM150 bagi sekali rawatan. Dahulu empat kali sebulan, sekarang dua bulan sekali. Alhamdulillah suami tidak pernah terlepas rawatan lagi setakat ini,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Bank Simpanan Nasional atas nama Norazam yang bernombor 01200-29000-423552.