MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sedia memberi peluang kepada pemain-pemainnya untuk meraikan kejayaan menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Citizens melakar sejarah tersendiri apabila memenangi saingan Liga Perdana buat kali ketiga berturut-turut selain menyaksikan kemenangan itu adalah kali kelima dalam tempoh enam tahun.
Meskipun masih ada beberapa perlawanan perlu diharungi, termasuk dua aksi final Piala FA dan Liga Juara-Juara, namun Guardiola memberi kebenaran kepada pemain-pemainnya untuk meraikan kejayaan menjadi juara liga.
“Saya terlalu ‘mendera’ mereka pada saingan musim ini. Sudah tentu penat apabila menjulang trofi dan mula memikirkan aksi menentang Brighton, saya tahu ia sangat sukar buat semua pemain.
“Pemain-pemain berhak untuk meraikan kemenangan ini, jika tidak ia tidak adil dan tidak masuk akal. Kami masih ada masa untuk rehatkan minda menjelang dua perlawanan akhir menentang Manchester United dan Inter Milan,” katanya.
City memiliki baki dua perlawanan musim ini, iaitu menentang Brighton dan Brentford selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad malam kelmarin.
“Kami perlu bermain dua perlawanan lagi musim ini, jadi perlu berjaga-jaga supaya tidak memusnahkan apa yang sudah kami lakukan. Aksi bertemu Brighton dan Brentford pasti menjadi perlawanan sukar,” ujar Guardiola. – AGENSI