WASHINGTON – Satu kajian baharu mendedahkan bahawa fenomena El Nino tahun ini berisiko menyebabkan ekonomi dunia rugi AS$3 trilion (RM13.6 trilion) menjelang 2029, lapor laman berita Business Insider.
Laporan mengenainya diterbitkan dalam jurnal Science. Menurutnya, fenomena cuaca itu mencetuskan gelombang haba dan kemarau ekstrem di banyak negara.
El Nino yang merupakan arus laut panas dari Amerika Selatan merentasi hingga ke Benua Asia, diramal mencetuskan perubahan cuaca meluas dan secara berterusan. Keadaan itu memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi banyak negara.
El Nino pernah menyebabkan ekonomi dunia rugi AS$4.1 trilion (RM18.6 trilion) antara 1982 hingga 1983 dan AS$5.7 trilion (RM25.8 trilion) pada 1997 dan 1998.
Menurut kajian sama, fenomena El Nino pada tahun ini diramal berlaku ketika suhu permukaan laut adalah paling panas.
“Fenomena El Nino besar-besaran turut berlaku pada 2016 dengan tahun tersebut adalah tahun paling panas pernah direkodkan dalam sejarah.
“Pemanasan global pula terus meningkat sejak tujuh tahun selepas itu dan dalam masa yang sama, dunia sedang keluar daripada fenomena berpanjangan La Nina. Kedua-dua fasa ini menguatkan impak antara satu sama lain,” kata kajian tersebut.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan sebelum ini meramalkan kebarangkalian fenomena El Nino berlaku menjelang musim panas 2023 adalah sebanyak 80 peratus.
“El Nino ekstrem berpotensi berlaku dalam tempoh tersebut. Fenomena ini akan menyebabkan kerugian ekonomi besar-besaran yang akan memberi tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi khususnya di negara-negara beriklim tropika selama satu dekad,” kata pengarang kajian, Christopher Callahan.
Callahan dan pengarang bersama, Justin Mankin turut meramalkan kerugian ekonomi global bagi abad ke-21 mencecah AS$84 trilion (RM380 trilion) ketika perubahan iklim dunia berpotensi meningkatkan kekerapan dan kekuatan El Nino.
“Kesejahteraan kita dipengaruhi oleh ekonomi global, manakala ekonomi global pula berkait rapat dengan iklim.
“Apabila anda bertanya mengenai kos perubahan iklim, anda boleh memulakannya dengan bertanya betapa mahalnya harga kepelbagaian iklim,” kata Mankin. – Agensi