fbpx

Dewan Rakyat: Takwim persekolahan bermula Januari dijangka 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan takwim sesi persekolahan bermula pada Januari akan kembali berkuat kuasa pada tahun 2026 dengan cara mengawalkan sesi persekolahan tahun 2024/2025 bermula pada bulan Februari.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sedang meneliti dan merancang untuk mengembalikan takwim asal kalendar akademik bermula pada bulan Januari sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, ini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran selama 36 minggu untuk menyelesaikan keseluruhan kokurikulum sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata, KPM meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan dengan mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI