KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti ulat tiket dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai peneraju.
“Undang-undang tersebut dilihat penting pada waktu ini dalam usaha menangani masalah ulat tiket yang wujud sejak sekian lama.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub memang pada waktu ini di Malaysia, kita belum ada undang-undang yang bersifat antiulat tiket. Oleh sebab itu kita akan teliti bersama dengan kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti, program yang ada penjualan tiket sama ada secara dalam talian atau sebaliknya.
“Jadi penting untuk melihat apa peruntukan undang-undang yang boleh diwujudkan untuk mengelak masalah ulat tiket ini daripada berulang di masa depan,” katanya pada sidang akhbar berkaitan penjualan semula tiket konsert Coldplay dengan harga tinggi di Parlimen hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kebanyakan kes ulat tiket berlaku bukan hanya melibatkan konsert berskala besar, sebaliknya pertandingan bola sepak dan sambutan perayaan.
“Jadi kita akan teliti kesesuaian, pengalaman negara luar juga diambil kira,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE