UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengorak langkah apabila memperluas skop Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi ke peringkat antarabangsa.
Perluasan itu memfokuskan kepada jalinan kolaborasi strategik bersama institut pendidikan TVET di China.
Perkara tersebut dizahirkan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan secara dalam talian di antara UTeM dan Liuzhou Jiaotong School (LJS), China baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr. Massila Kamalrudin, antara elemen kerjasama UTeM dan institut tersebut adalah tertumpu kepada kemasukan pelajar antarabangsa, kurikulum akademik, pertukaran staf akademik, kolaborasi persidangan UTeM-LJS serta program latihan amali antara Malaysia dan China.
Menerusi kolaborasi itu jelasnya, UTeM menyediakan laluan kepada pelajar di sana terutama lulusan Sekolah Vokasional Tinggi untuk penyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan di UTeM.
“Lulusan di LJS adalah setara dengan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan perlu melalui beberapa kursus bridging yang disediakan di UTeM terutamanya dalam pembelajaran bahasa Inggeris.
“MoU ini turut membuka ruang untuk perjalanan program-program lain termasuklah pembangunan kurikulum pembelajaran TVET di samping peluang latihan amali di China dan beberapa sesi perkongsian ilmu dan teknologi antara dua negara,” ujarnya ketika majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Katanya, kerjasama itu turut membuka ruang untuk meningkatkan kebitaraan pelajar UTeM dalam bidang TVET dengan menggunakan sistem dan teknologi berorientasi Revolusi Industri (IR) 4.0 serta membudayakan budaya digitalisasi selaras kehendak semasa.
Massila berkata, agenda ini telah mempamerkan kesungguhan dan proaktif UTeM dalam usaha merancakkan permerkasaan TVET aras tinggi bukan hanya dalam negara, malah merentas sempadan dunia.
“Ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan negara yang ingin melihat universiti awam teknikal seperti UTeM memperkasa agenda TVET dalam segenap akar umbi,” ujarnya lagi.
MoU antara UTeM dan LJS berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun bermula pada April 2023 hingga April 2028.
Majlis MoU di antara UTeM dan LJS yang diadakan dalam talian turut disempurnakan pihak UTeM yang diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) Prof. Ts Dr. Effendi Mohamad.
Bagi China pula, mereka diwakili Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia, Esther Low dan Principal LJS, Huang Yan.
“Kolaborasi strategik ini pasti memberikan banyak kelebihan dan manfaat dalam bertukar kepakaran antara dua negara amnya dalam bidang TVET,” ujar wakil dari LJS.