SHAH ALAM – Tiga lelaki terselamat dalam dua kebakaran selang lebih empat jam melibatkan rumah teres awal pagi tadi.
Kesemua mangsa berusia 30 hingga 40an berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di Seksyen 7 di sini dan Taman Meru Selatan, Klang.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, panggilan kebakaran pertama diterima kira-kira pukul 2.25 pagi dengan melibatkan 29 anggota termasuk pegawai.
Katanya, ini melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Shah Alam, Kota Anggerik Sungai Pinang dan Kota Raja.
“Selang empat jam kemudian, kebakaran kedua berlaku dengan 12 anggota termasuk pegawai dari BBP Sungai Pinang dan Kapar melakukan operasi pemadaman.
“Kedua-dua kebakaran melibatkan masing-masing sebuah rumah teres kos rendah dan rumah teres dua tingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, ketiga-tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran tersebut dan tidak mengalami sebarang kecederaan. -KOSMO!ONLINE