LANGKAWI – Kementerian Pertahanan setakat ini tidak melihat keperluan untuk mengubah sebarang dasar berkaitan pembinaan kapal tentera susulan kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, isu berkaitan LCS tidak mempunyai kaitan dengan dasar, sebaliknya masalah pengurusan.
“Sekarang ini saya rasa belum ada keperluan untuk ubah dasar tersebut. Dasar itu baik untuk mengembangkan industri pertahanan negara tetapi masalahnya adalah pengurusan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) di sini hari ini.
Kata beliau, dasar sedia ada akan diteruskan dan meminta syarikat berkaitan pertahanan tempatan supaya tidak rasa was-was dengan dasar sedia yang mana ia akan diteruskan dan dijayakan sebaik mungkin. – KOSMO! ONLINE