fbpx

Suami sempat sarungkan cincin sebelum terlibat nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZNAH (empat dari kanan) berbual dengan Yushaini Yusoff (empat dari kiri) sambil diperhatikan Mohamad Yunos (tiga kiri) selepas menerima replika cek insurans Etiqa di Sungai Petani kelmarin

SUNGAI PETANI – Sukar bagi seorang warga emas untuk melupakan tragedi hitam yang meragut nyawa suami tercinta meskipun ia sudah lapan bulan berlalu.

Menurut Haznah Mat Dai, 61, kejadian itu sungguh terkesan dalam dirinya kerana arwah suami, Ahamad Yusuf, 63, menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuannya.

“Kemalangan itu berlaku pada hari ulang tahun kelahiran saya iaitu pada 19 September yang mana pada pagi kejadian, arwah sempat sarungkan cincin pada jari saya.

“Itu kenangan manis terakhir kami berdua sebelum arwah pergi selama-lamanya,” ­katanya ketika ditemui pada Majlis ­Penyerahan Cek insurans Etiqa Takaful Am Berhad (Etiqa) berjumlah RM50,000 selepas menjadi pencarum bagi kategori Flexi PA di sini kelmarin.

Cek disampaikan Pengurus Besar Pos Malaysia Kedah/Perlis, Yushaini Yusoff dan Pengurus Kanan Etiqa Malaysia, Mohamad Yunos Mohd. Sood.

Kata Haznah yang merupakan ibu kepada empat anak, suaminya merupakan bekas anggota tentera dan mereka mengusahakan jualan nasi lemak di hadapan rumah di Kulim, dekat sini sejak arwah habis perkhidmatan selama 13 tahun.

“Arwah seorang suami dan bapa yang sangat baik, namun Allah lebih menyayanginya dan wang insurans yang diperoleh ini akan saya gunakan untuk kos badal haji buatnya selain untuk difaraidkan kepada semua anak,” ujarnya.

Menceritakan semula keja­dian, kata Haznah, dia dan suami bersama anak dan cucu terlibat dalam kemalangan di Jalan ­Sidam Kiri, dekat sini pada 19 September tahun lalu.

Katanya, dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, arwah suami meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas kereta Proton Saga dinaiki terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan lain.

“Ketika kejadian, suami duduk di kerusi penumpang belakang sambil memangku cucu, Mohamad Fatah Haris Mohd. Fuad berusia setahun dan saya duduk di kerusi penumpang hadapan dengan kereta dipandu anak ­perempuan bongsu Norarina, 24.

“Ketika itu kami sekeluarga dalam perjalanan ke rumah seorang lagi anak perempuan di Sungai Petani dari kediaman mereka di Taman Angsana, Kulim,” ujarnya.

Tambahnya, kemalangan berlaku apabila kereta Toyota Corolla dari arah Sungai Petani dipandu seorang mekanik berusia 18 tahun hilang kawalan serta masuk laluan bertentangan.

Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan merempuh lori sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mereka serta ­terkena pada sebuah motosikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI