SINGAPURA – Seniman legenda, Wahid Satay menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun di kediamannya di Eunos Crescent, Singapura, pukul jam 8 pagi tadi.
Berita pemergian Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad disahkan teman rapat Allahyarham, Rusedah Tawahid yang juga berada di Singapura.
“Saya mendapat perkhabaran arwah meninggal dunia di kediamannya di Eunos Crescent, pagi tadi.
“Seperti yang diketahui, arwah memang uzur dan keadaannya juga agak lemah akibat sakit tua.
“Namun saya tidak dapat memastikan punca kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Sejak pagi tadi tersebar khabar pemergian Wahid dalam beberapa kumpulan WhatsApp, namun tidak menyebutkan perincian lain.
Dalam mesej tersebut hanya menyebut Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8 pagi tadi.
“Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan, dunia seni kehilangan seorang lagi bintang nostalgia, Seniman Wahid Satay atau Abdul Wahid bin Ahmad.
“Allahyarham kembali ke rahmatullah sekitar jam 8 pagi pada 22 Mei 2023 di Singapura pada usia 93 tahun.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Aamiin. Al-Fatihah,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataan lain, saudara atau kenalan yang ingin menziarah diminta ke Blk 57, Teban Gardens Road, #14-469 Teban View, Singapura.
Urusan mandi dan solat jenazah akan disempurnakan di Masjid Pusara Aman sekitar pukul 2 petang sebelum pengebumian di tanah perkuburan Islam di masjid sama sekitar pukul 4 petang ini.
Terdahulu, gelaran Wahid Satay diberikan mendiang Loke Wan Tho yang juga pemilik Pertubuhan Cathay dan digunakan sejak beliau berlakon dalam filem Pontianak bersama Maria Menado.
Filem tersebut berjaya bertahan selama tiga bulan di Panggung Cathay sehingga mampu memberikan saingan sengit kepada filem Hollywood, Samson and Delilah.
Allahyarham terbabit dalam puluhan filem sejak berada dalam industri seni bermula tahun 1957 termasuk Pak Pandir Moden, Jula Juli Bintang Tiga, Masuk Angin Keluar Asap, Serangan Orang Minyak dan Chuchu Datok Merah selain Che Mamat Parang Tumpul serta Badang.
Malah bintang kelahiran Riau, Indonesia yang dibawa berhijrah ke kota singa pada usia lima tahun itu juga kerap diundang membintangi filem tempatan seperti Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dan Senario XX (2005)
Terdahulu, beliau sememangnya terkenal dengan naskhah genre lawak jenaka ketika berpayung bawah Studio Cathay Keris sehingga digelar sebagai Jerry Lewis Malaya. – KOSMO! ONLINE