SABAK BERNAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin disenaraikan sebagai calon utama Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Selangor itu antara tiga nama bakal calon yang diserahkan kepada kepimpinan parti untuk dimuktamadkan.
Mengesahkan perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya termasuk akar umbi sebulat suara memilih Mohd. Imran sebagai calon utama kerusi N03 tersebut.
“Kita memang ada beberapa nama calon lain namun beliau (Mohd. Imran) sudah menjadi wakil rakyat selama satu penggal dan masih muda.
“Beliau ketika ini adalah ‘top list’ (senarai atas) calon bagi mengekalkan kerusi itu dan saya akan memberi sokongan penuh kepadanya kelak,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO bahagian itu di Sekinchan di sini, malam tadi.
Jamal turut menegaskan, pihaknya tidak akan meletakkan calon bagi kerusi DUN Sekinchan yang dijangka bakal diwakili penyandangnya, Ng Suee Lim dari DAP.-KOSMO!ONLINE