JITRA – Tindakan seorang peniaga kedai runcit menjual gula timbang pada harga RM11 bagi tiga kilogram gula tersebut sejak seminggu lalu membawa padah apabila dikompaun RM500 dalam serbuan di Tunjang, dekat sini hari ini.
Serbuan dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas premis itu yang disyaki menjual gula pasir putih bertapis kasar melebihi harga maksimum.
Peniaga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 iaitu pelanggaran perintah kawalan harga dan antipencatutan (penetapan harga maksimum) gula pasir bertapis kasar dan halus.
Pengarah KPDN negeri, Affendi Rajni Kanth berkata, serbuan mendapati kedai itu menjual gula pasir pada harga RM11 bagi 3 kg yang mana ia sudah melebihi harga maksimum ditetapkan untuk barang kawalan.
Katanya, harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan harga terkawal ialah harga borong RM2.77 dan harga runcit RM2.85 sekilogram.
“Tindakan kes telah diambil dengan mengeluarkan kompaun sebanyak RM500 ketika serbuan dilakukan dan ia telah dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE