fbpx

Mod 3u1i murnikan modul latihan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulqarnain (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak industri yang hadir dalam sesi libat urus mod 3u1i.

SEJAK sekian lama, isu berkaitan kurang pengalaman telah ‘menghantui’ graduan-graduan baharu yang menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan.

Alasan kurang pengalaman sering menjadi faktor utama majikan sukar untuk menerima graduan-graduan ini bagi menjawat jawatan di syarikat mereka.

Oleh yang demikian, dalam usaha memberikan sebanyak mungkin pengalaman kepada para pelajarnya, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) telah menawarkan mod tiga tahun di universiti dan satu tahun di industri (3u1i) bagi mahasiswa-mahasiswa yang mengambil Program Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS).

Malah baru-baru ini, satu sesi libat urus bersama pemegang taruh industri telah diadakan bagi berkongsi pengalaman dan buah fikiran bertujuan pemurnian modul latihan industri.

Penyelaras Program Pengurusan Alam Sekitar UM, Dr. Rosazlin Abdullah berkata, perkembangan dalam bidang alam sekitar adalah pesat sejajar dengan perubahan dalam teknologi dan instrumen analitik.

Menurutnya, perubahan daripada aspek perkhidmatan, keperluan pekerjaan dan penyelidikan juga mempengaruhi perkembangan sudut pengurusan alam sekitar.

“Aspek aplikasi ilmu alam sekitar dalam pengurusan alam sekitar yang sejajar dengan penekanan kepada konsep pembangunan lestari dan Sustainable Development Goals (SDGs) serta isu-isu alam sekitar di peringkat global, selain penyediaan graduan yang berkemahiran bagi pasaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) adalah amat penting.

“Faktor ini juga diambil kira dalam penawaran program SPAS dengan mod Industri atau lebih dikenali dengan mod 3u1i,” kata Rosazlin.

Tambahnya, tempoh latihan yang lebih panjang juga memberi pelajar peluang pendedahan kepada lebih banyak komponen yang berkaitan, membina keyakinan diri serta kemahiran yang lebih baik.

Oleh itu, Rosazlin berkata, adalah diharapkan dengan pelaksanaan mod 3u1i, peratusan kebolehpasaran para graduan dapat ditingkatkan dan mereka akan mendapat pekerjaan dalam bidang yang diceburi berdasarkan kelebihan ketika menjalani latihan industri bagi tempoh yang lebih panjang.

Dalam pada itu, Rosazlin menjelaskan, perubahan kepada mod 3u1i itu juga akan memberi lebih pendedahan kepada pelajar dan menyediakan mereka dengan pengalaman serta pengetahuan tentang keperluan dan amalan di industri atau organisasi.

“Pengalaman ini juga akan menjadikan mereka lebih matang dan berdaya saing.

“Program SPAS tidak harus terikat kepada teori dan konsep semata-mata tetapi perlu diamalkan dan dipraktikkan.

“Justeru, kaedah konvensional boleh dikurangkan dan proses pengajaran dan pembelajaran perlu beralih kepada kaedah satu mod yang lebih bersifat amali dan praktikal,” jelasnya.

Satu sesi libat urus pemurnian modul latihan industri bersama pemegang taruh industri diadakan bagi berkongsi pengalaman dan buah fikiran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, kaedah amali dan praktikal akan tercapai dengan lebih jayanya dengan penglibatan terus dengan pihak industri.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Zulqarnain Mohamed berkata, kekurangan pengalaman sebenarnya boleh menjejaskan kebolehpasaran graduan.

Namun begitu, kata Zulqarnain, melalui program 3u1i ia memberi manfaat kepada graduan untuk mendapatkan pengalaman sebanyak yang mungkin.

“Pengetahuan dan pengalaman adalah antara aspek penting yang harus ada pada setiap graduan.

“Kita tidak ada masalah untuk melengkapkan graduan dengan pengetahuan.

“Oleh itu, dengan adanya program ini graduan boleh mendapatkan lebih banyak pengalaman apabila tempoh latihan praktikal mereka dilaksanakan dalam tempoh yang lebih panjang,” terangnya.

Dalam pada itu, Ketua Institut Sains Biologi UM, Prof. Dr. Mohamad Suffian Mohamad Annuar berkata, komitmen kehadiran 28 pemegang taruh industri dalam sesi libat urus itu menunjukkan bahawa keperluan melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berpengalaman adalah amat penting bagi mereka.

“Penglibatan mereka dalam perancangan pelaksanaan mod 3u1i ini untuk SPAS dapat merapatkan jurang ketidaksepadanan antara kehendak industri dan graduan yang dihasilkan oleh pihak universiti,” terang Mihamad Suffian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI