16 Mei sudah sebati sebagai tarikh sambutan hari guru di Malaysia. Tarikh ini disambut bagi menghargai peranan dan sumbangan guru. Pelbagai sambutan diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan terhormat ini.
Pelajar sekolah menunjukkan penghargaan dengan meraikan dan memberi cenderahati sebagai tanda terima kasih.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan masih terdapat segelintir pihak yang menyisihkan golongan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) pada sambutan hari guru.
Pensyarah juga merupakan golongan pendidik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan interlektual negara.
Guru dan pensyarah adalah tunjang penting pembangunan modal insan permata negara. Mereka seharusnya saling melengkapi dalam proses ini.
Sebagai penyumbang ilmu, pensyarah bertanggungjawab memberi ilmu mengikut kepakaran mereka.
Pelajar di peringkat tertiari akan menumpukan pengkhususan ilmu dalam kelompok lebih kecil berbanding di sekolah.
Pengetahuan teori sahaja tidak cukup, pengalaman kumpulan pensyarah ditagih dalam merapatkan jurang ilmu teori dan amalan yang dipraktikkan bagi melengkapkan kemahiran agar pelajar sentiasa bersedia apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
Selain menyebarkan pendidikan bidang khusus, pensyarah turut bertanggungjawab dalam pembangunan dalaman dan kemahiran insaniah.
Pensyarah juga mendidik anak-anak muda akan tanggungjawab menjadi warga yang beretika.
Golongan pendidik ini turut berdepan cabaran termasuk pelajar daripada pelbagai latar belakang, kecanggihan teknologi dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, kekurangan sumber serta cabaran memenuhi petunjuk prestasi utama selain tuigasan pentadbiran, penyelidikan dan sumbangan komuniti.
Dalam menjiwai semangat Malaysia Madani, kita sebagai masyarakat pemegang falsafah inklusif perlu menghargai semua pendidik sama ada peringkat rendah, menengah dan juga tertiary.
Kita seharusnya mengiktiraf peranan dan keringat mereka dalam membentuk generasi akan datang yang berilmu, berdaya tahan dan berdaya huni. Hormati dan hargailah mereka.
Raikan mereka, jangan sisihkan kumpulan pensyarah agar mereka terus beriltizam dalam menyampaikan ilmu.
Dr. Mohd Hafiz Zulfakar
Universiti Teknologi Mara