fbpx

Janet pasang impian menjadi pramugari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Janet mahu berjaya dalam pelajaran dan seterusnya bergelar pramugari.

SETIAP insan sudah semestinya mempunyai impian atau cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya.

Bagi mengejar cita-cita dan impian, langkah pertama harus diambil bagi membolehkan ia menjadi satu kenyataan.

Begitu juga buat Janet Zact, 19, yang tidak hanya menjadikan impiannya itu sekadar satu mimpi tetapi gadis itu telah mengambil langkah yang sepatutnya untuk merealisasikannya.

Gadis berketurunan Dusun berasal dari Kota Marudu, Sabah itu mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat diploma dalam bidang pengurusan penerbangan di Kolej MEATECH, Mantin, Negeri Sembilan.

“Sejak berumur 14 tahun saya telah meminati bidang ini dan bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan.

“Bermula dari situ saya mula mencari dan mengambil tahu tentang bidang ini terutamanya tentang laluan kerjanya.

“Setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang ini, saya begitu teruja untuk menerokainya sehingga memiliki satu rancangan baharu iaitu mahu memulakan kerjaya dari peringkat bawah hingga teratas dalam bidang ini,” katanya kepada K2.

Janet berharap setelah tamat pengajian dia dapat terus bekerja sekali gus membantu keluarga.

Besar harapannya agar bidang itu akan menjadi satu sumber pendapatannya pada masa hadapan bagi membolehkan diri kembali berbakti kepada keluarganya.

“Jika diizinkan berjaya membina kerjaya dalam bidang ini pada masa hadapan, saya akan dapat membantu keluarga dan menampung perbelanjaan adik-beradik lain yang masih bersekolah.

“Saya berasal daripada keluarga yang tidak berapa senang dan ingin kembali berbakti kepada keluarga apabila telah bekerja kelak,” ungkapnya.

Janet menyifatkan dirinya tidak memilih dalam berkawan.

Dalam pada itu, berbicara tentang cabaran yang dihadapi olehnya apabila memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut, Janet menjelaskan cabaran utama yang dihadapinya adalah dari segi kewangan.

Memandangkan dia bukan berasal daripada keluarga yang senang, melanjutkan pelajaran jauh dari kampung halaman juga suatu yang memberi cabaran kepadanya.

Janet perlu memikirkan bagaimana cara untuk mengatur kewangan dengan sebaiknya.

“Sebelum melanjutkan pelajaran, saya juga mengambil masa untuk membuat keputusan kerana bukan mudah bagi saya memandangkan harus memikirkan kos pembelajaran dari segi yuran dan sebagainya.

“Namun begitu, saya bersyukur. Walaupun ayah hanya seorang petani dan ibu suri rumah, mereka memberi sokongan dan dorongan untuk saya mengejar impian,” terangnya.

Tambahnya, dia juga berhadapan dengan cabaran dari segi mental dan fizikal disebabkan perlu berjauhan dengan keluarga.

Janet juga berharap dirinya dapat terus memiliki pekerjaan sejurus tamat pengajian.

Dia memasang impian untuk menjadi pramugari di syarikat penerbangan luar negara yang terkemuka.

Namun begitu, dia ingin membina kerjaya bersama syarikat penerbangan tempatan terlebih dahulu bagi menimba pengalaman.

Berbicara tentang dirinya pula, Janet berkata, dia seorang yang mesra dan ceria.

“Untuk mereka yang tidak mengenal saya, mereka akan beranggapan saya seorang yang sombong dan memilih orang untuk berkawan tetapi itu salah dan tidak benar. Saya terbuka untuk semua orang yang mahu berkawan dengan saya,” kata Janet.

Tambahnya, dalam kehidupan dia juga mempunyai pegangan hidup iaitu percayakan diri sendiri dan serahkan semua perancangan kepada Sang Pencipta.

Ini kerana, dia merasakan, apa yang manusia rancang belum tentu sama dengan apa yang direncanakan Sang Pencipta untuk kita, justeru menyerahkan segalanya kepada Tuhan adalah sebaiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI