fbpx

10 warga Indonesia dipaksa jadi amah, tukang cuci diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara mangsa yang diselamatkan oleh JIM dalam operasi dilakukan di Temerloh, Pahan.-Foto Ihsan JIM

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket eksploitasi pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan didalangi oleh warga asing serta rakyat tempatan dalam operasi khas yang dijalankan pada 16 Mei lalu di Temerloh, Pahang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang dijalankan di dua buah premis sekitar daerah berkenaan dilakukan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya kira-kira pukul 7 malam.

Katanya, pada operasi tersebut pasukan operasi telah berjaya menyelamatkan 10 orang wanita warganegara Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun yang memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.

“Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pada operasi itu juga pihaknya turut menahan seorang wanita warganegara Indonesia berusia lingkungan 30 tahun dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa selain suspek turut memiliki PLS yang telah tamat tempoh.

“Pada pukul 8.30 malam serbuan kedua telah dilakukan di sebuah premis agensi pekerjaan dan seorang wanita berusia 40 tahun telah ditahan.

“Wanita tersebut merupakan pemilik syarikat agensi pekerjaan yang membawa masuk ke semua warga asing tersebut dan menguruskan sindiket ini,” ujarnya.

Jelasnya, modus operandi sindiket ini ialah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang telah ditentukan oleh sindiket.

Ujarnya, melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa, mereka tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket tersebut.

Selain itu, Ruslin berkata, kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi menghubungi ahli keluarga di negara asal.

“Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan daripada sindiket ini adalah RM150 hingga RM250 untuk sehari.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak lebih dua tahun dan dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM900,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan,”jelasnya.

Tambah beliau, kesemua warga asing telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala wanita tempatan pemilik agensi pekerjaan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai soal siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI