fbpx

Ibu tunggal hilang sebelah kaki, anak tempat bergantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul WAHIDA dan anak bongsunya, Muhamad Syafi Naqiuddin menunjukkan kaki kanan yang dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis ketika ditemui di rumahnya di Kulim baru-baru ini.

KULIM – Seorang ibu tunggal berdepan dugaan apabila kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga paras betis akibat pe­nyakit kencing manis.

Disebabkan kehilangan anggota badan itu, Nurul Wahida Jamaluddin, 41, kini hilang punca pendapatan dan hanya bergantung dengan bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan.

Nurul Wahida berkata, kaki­nya dipotong pada Mac lalu, hari pertama umat Islam berpuasa.

“Doktor ambil keputusan memotong kaki selepas ibu jari kaki kanan luka dan bernanah sete­rusnya merebak ke tapak kaki.

“Selama 10 hari saya berada di hospital dan menjalani pembedahan sebanyak tiga kali untuk membuang isi kaki yang rosak akibat jangkitan kuman.

“Saya reda dengan ujian ini dan kini terlantar atas katil. Sekarang saya perlu mencuci luka kaki dan bisul di belakang badan setiap hari di klinik swasta,” katanya ketika ditemui.

Ceritanya, sebelum ini, dia yang menjual nasi lemak menanggung luka yang besar akibat bisul di belakang badan dan kini semakin pulih, namun perlu dirawat.

“Sejak kaki dipotong, pergerakan makin terbatas, tambahan pula penglihatan makin kabur. Mujur dua adik lelaki dan tiga anak membantu,” katanya.

Anak sulungnya berusia 19 tahun, manakala dua lagi berusia 13 dan lapan tahun. Dua adiknya berusia 26 dan 25 tahun turut tinggal bersama Nurul Wahida.

Keluarga itu juga kini dalam proses memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Nurul Wahida boleh menghubunginya di talian 012-5520954 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank Nurul Wahida bernombor 7610501757.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI