PARIT BUNTAR – Kesukaran UMNO memujuk ahlinya menerima DAP sebagai rakan sekutu dianggap perkara biasa yang bakal dihadapi oleh mana-mana parti di negara ini.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Li Kang berkata, ia merupakan satu perkara biasa kerana ini merupakan kali pertama Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
“Di peringkat pimpinan tertinggi kerjasama antara kita (PH-BN) memang bagus malah di peringkat negeri kita juga sudah wujudkan satu jawatankuasa bersama antara PH dan BN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jamuan Hari Raya Malaysia Madani Pakatan Harapan Negeri Perak di Dewan Terbuka Taman Permai, di sini hari ini.
Menurut Li Kang, perkara seperti itu di peringkat tertinggi memang tidak berlaku dan mungkin berlaku sedikit masalah di peringkat akar umbi. – KOSMO! ONLINE