fbpx

Tular video MK hadir kursus perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video sewaktu penyanyi MK menghadiri kursus perkahwinan yang tular dalam TikTok baru-baru ini.

PETALING JAYA – Selepas berkongsi bayangan bakal mengakhiri zaman bujang, tular dalam TikTok penyanyi MK K-Clique dirakam sedang menghadiri kursus perkahwinan baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsikan pemilik akaun @mista_bryan801 itu, kelihatan MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan telah dipanggil seorang penceramah untuk ke hadapan bagi melakonkan adegan akad nikah.

Sewaktu ‘dinikahkan’, MK yang memakai kemeja berwarna putih telah berjabat tangan dengan penceramah tersebut sebelum akad dilakukan dengan menyebut nama seorang wanita dipercayai bakal isterinya.

“Amin bin Hamdan. Aku nikahkan kau dengan Siti Hajar binti Syeikh Nurdin yang telah berwakil walikan aku dengan mas kahwinya RM80 hutang,” kata penceramah itu.

Akad tersebut kemudiannya disambut MK sebelum penyanyi berusia 27 tahun itu kelihatan tersipu-sipu malu.

Menjengah dalam ruangan komen, terdapat netizen berkongsi rasa teruja apabila turut berada di kursus perkahwinan tersebut dan dapat bersalaman dengan penyanyi asal Sabah itu.

“Saya ada dalam kursus kahwin berkenaan. Dapat salam dengan MK. Baik orangnya,” kata seorang netizen.

Menerusi maklumat yang diperolehi, difahamkan MK telah menghadiri kursus perkahwinan tersebut di sebuah masjid yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Pengurus kepada MK dikenali sebagai Farah sewaktu dihubungi Kosmo! Online untuk mendapatkan pengesahan bagaimanapun mendakwa tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

“Saya tidak pasti. Tiada apa yang boleh saya kongsikan,” katanya yang akan memberikan butiran lanjut jika mendapat perkhabaran daripada penyanyi itu sendiri.

Jumaat lalu, MK menjadi bualan hangat apabila dikatakan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi selepas memuat naik gambar pasport lengkap bersongkok.

Lebih menguatkan andaian selepas penyanyi itu dikhabarkan sudah pun mengikat tali pertunangan bersama dengan wanta dikenali sebagai Siti Hajar Sheikh Nordin.

Spekulasi itu timbul selepas kedua-dua mereka dilihat berpakaian sedondon bersama keluarga masing-masing sambil Siti Hajar menunjukkan cincin pada jarinya seolah-olah memberitahu dirinya telah disunting penyanyi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI