BALIK PULAU – Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Daerah Barat Daya meminta siasatan terperinci dijalankan berhubung kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar senior tingkatan lima di sebuah sekolah berasrama penuh, di sini.
Naib Pengerusinya, Ismail Kassim berkata, pihaknya kesal dengan insiden yang dilaporkan itu dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian berlaku.
Menurutnya, insiden tersebut dikatakan bukan yang pertama kali terutamanya melibatkan pelajar senior dan junior.
“Minta kerjasama warden asrama meningkatkan pemantauan di asrama dari masa ke semasa selepas ini supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
“Kejadian ini bukan sahaja menjejaskan masa depan pelajar senior tersebut malah membuatkan pelajar lain terutama yang baharu atau belum melangkah kaki ke situ mungkin alami trauma susulan insiden yang berlaku,” katanya, di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, polis menahan lima pelajar senior tingkatan lima sekolah terbabit bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga di dalam tandas lelaki, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai akibat mangsa turun lewat untuk menunaikan solat Subuh.
Difahamkan, mangsa mengalami luka kecil pada bahagian badan selepas dipukul menggunakan kaki serta tangan oleh kumpulan senior terbabit. – KOSMO! ONLINE