fbpx

Rayuan haji ditutup ekoran kuota sudah cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian jemaah haji Malaysia penerbangan pertama menunggu giliran bagi urusan kaunter di Terminal 1 KLIA, Sepang malam tadi. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

SEPANG – Mereka yang ada membuat rayuan untuk menunaikan haji pada musim kali ini disifatkan boleh melupakan hasrat itu kerana kuota rasmi jemaah Malaysia sudah penuh diisi setakat ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pada tahun ini, kira-kira 100,000 orang telah membuat rayuan, tetapi kuota sudah habis dan tiada lagi rayuan akan dipertimbang selepas ini.

“Sebelum ini, memang ada isu banyak kekosongan tempat apabila mereka yang mendapat tawaran telah menunda kepada tahun berikutnya.

“Mereka ini memang tahun giliran diperuntukkan musim 2023, namun kemudian tolak atas pelbagai sebab misalnya faktor gagal melepasi pemeriksaan kesihatan ketat,” katanya.

Syed Saleh beramah mesra bersama sebahagian jemaah haji di Terminal 1, KLIA Sepang, malam tadi. – Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni kumpulan pertama jemaah seramai 284 orang yang berlepas ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini awal pagi tadi.

Mereka yang transit dari Alor Setar, Kedah dan Kota Bharu, Kelantan, kemudian menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan sewa khas MH 8056 bertolak pukul 2.52 pagi tadi.

Sementara itu, Syed Salleh berkata, 30 peratus jemaah yang menunaikan haji pada tahun ini juga berada dalam lingkungan 65 tahun ke atas selain ada antara mereka turut menggunakan kerusi roda.

“Jumlah besar warga emas berumur lebih 65 tahun pada musim kali ini disebabkan mereka dihalang kerajaan Arab Saudi pada tahun lepas.

“Saya juga boleh menyatakan bahawa mereka semua ini adalah kes tertunggak daripada kuota giliran untuk tiga tahun lalu berturut-turut ekoran isu pandemik Covid-19,” jelasnya.

Suasana sebahagian jemaah haji sedang berurusan di kaunter imigresen Arab Saudi di Terminal 1 KLIA, Sepang malam tadi. – Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Mengulas lanjut, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia menjelaskan, kesemua jemaah warga emas itu juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

“Meskipun berkerusi roda, mereka berjaya melepasi proses saringan dan pemeriksaan perubatan yang ketat termasuk disahkan tidak menghidap penyakit kronik.

“Bagaimanapun pihak Tabung Haji bersiap siaga dengan pelbagai kemungkinan seperti keadaan sebelum pandemik selain cabaran cuaca panas ekstrem kali ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI