fbpx

Qasidah, bunga sambut jemaah pertama haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketibaan 284 jemaah haji Malaysia musim 1444H yang tiba di hotel penginapan di Saja Al Madinah, di sini, pada pukul 8 pagi waktu tempatan, semalam.

MADINAH – Sekuntum bunga, cenderamata dan minuman ringan menjadi pembuka tirai bagi menyambut ketibaan 284 jemaah haji Malaysia musim 1444H yang tiba di hotel penginapan di Saja Al Madinah, di sini, pada pukul 8 pagi waktu tempatan, semalam.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Putera Mohammad bin Abdulaziz, di sini, pada pukul 7 pagi selepas menempuh perjalanan selama sembilan jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan rombongan jemaah yang menaiki tujuh buah bas ke hotel penginapan itu disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.

Secara keseluruhan sebanyak 102 penerbangan membawa 31,600 bakal haji akan bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Makkah, dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 21 Jun depan.

Selain Saja Al Madinah, jemaah haji juga akan menginap di Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel. Kesemua hotel bertaraf lima bintang itu terletak antara 50 hingga 200 meter dari Masjid Nabawi.

Setiap kumpulan jemaah akan berada selama enam hari di kota suci ini sebelum berangkat ke Makkah, kira-kira 450 kilometer dari sini.

Sepanjang berada di Madinah Al Munawwarah, pelbagai aktiviti diatur antaranya menziarahi makam Nabi Muhammad, memasuki Raudah di Masjid Nabawi serta menziarahi tempat bersejarah di sini.

Selain itu, mereka akan dibawa ke ladang kurma, Masjid Quba, perkuburan Baqi, makam syuhada di Gunung Uhud dan lain-lain.

Sebelum ini, Ashrof memaklumkan seramai 150 petugas kebajikan dan perubatan Tabung Haji (TH) telah bersedia menyambut ketibaan dan menyantuni duyufurrahman.

Sebanyak 45 buah kumpulan WhatsApp telah diwujudkan sebagai medium penyaluran maklumat berkaitan program dan aktiviti jemaah di sini.

Beberapa perkhidmatan lain turut disediakan iaitu kaunter perubatan, kaunseling dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).

Jemaah digalakkan untuk merujuk aplikasi Thijari dan e-bimbingan untuk mendapatkan maklumat dan perkara mengenai ibadat haji.

Sementara itu, Wan Zaidi berkata, sistem Mecca Route yang dilancarkan oleh kerajaan Arab Saudi telah melancarkan pergerakan jemaah haji.

Katanya, tempoh pergerakan keluar jemaah dari pemeriksaan di lapangan terbang dapat dijimatkan sehingga empat jam.

“Sebelum ini jemaah perlu berada di lapangan terbang sehingga empat hingga lima jam untuk ambil bagasi, cap jari dan pemeriksaan visa.

“Tetapi selepas Mecca Route diperkenalkan, ia banyak memudahkan pergerakan keluar jemaah dan tidak menjejaskan emosi jemaah kerana perlu menunggu lama,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Menurut Wan Zaidi, Malaysia merupakan antara negara yang dipilih untuk menggunakan sistem itu selain Pakistan, Indonesia, Nigeria, Maghribi dan Turkiye. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI