PARIT BUNTAR – Parti Amanah dan Barisan Nasional (BN) sedang berbincang secara terperinci untuk bekerjasama bagi menggempur Pulau Pinang dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu telah dipersetujui secara bersama dengan Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Kami telah bersetuju dan perkara itu akan dibincangkan dengan lebih teliti dengan susunan yang rapi.
“Kita (Amanah) akan memastikan mana-mana calon dari BN yang bertanding dalam PRN ini akan menang begitu juga dengan calon-calon dari PH,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Raya Madani Pakatan Harapan Negeri Perak, di sini hari ini.
Menurut Mujahid, semua parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan akan mengikut arahan parti masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak berhasrat untuk bertanding pada PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Setakat ini tiada ribut mahupun angin sepoi-sepoi bahasa bahawa saya akan dicalonkan. Rundingan kerusi juga masih sedang berjalan dan saya tidak ada kuasa untuk perkara itu namun rundingan berjalan lancar dan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE