GUA MUSANG – Petani dan pekebun di negeri ini diminta tidak membazir dan mengawal penggunaan air untuk tujuan pengairan sepanjang cuaca panas melampau yang melanda ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu disarankan bagi memastikan penggunaan bekalan air dapat diminimumkan.
Katanya, para petani juga perlu memastikan saliran air dapat diselenggara dan tidak membuang air bagi mengelak pembaziran air.
“Kita berharap petani menggunakan air dengan sebaiknya untuk menyiram tanaman. Petani perlu sentiasa membaiki saliran dan air tandak yang dapat digunakan sebaiknya.
“Jika ada air yang dapat digunakan semula untuk proses kitaran, kita perlu gunakan kerana ingin pastikan tanaman tidak musnah walaupun berlaku musibah kemarau yang ketara,” katanya selepas menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli sempena Program Misi Hijau Siri 8 di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, pihaknya juga tidak menerima laporan terbaharu mengenai pembakaran tanah kebun atau tanah gambut secara berskala besar.
Katanya, para petani dan pekebun sudah mendapat panduan tidak membuat pembakaran terbuka atau membakar kawasan hutan.
“Pekebun juga semakin memahami bahawa pembakaran terbuka di kawasan kebun bukan hanya menyebabkan kebun kepanasan, tetapi juga menyebabkan kerosakan.
“Kita minta supaya penduduk tidak melakukan pembakaran terbuka kerana boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Kita juga bimbang pembakaran merebak dan tanah gambut biasanya agak sukar kita padamkan api kerana boleh meresap sehingga satu atau dua meter,” katanya. – KOSMO! ONLINE